Supplement Membahayakan? Air Kosong Berbahaya?

03:50 0 Comments A+ a-

Isu demi isu, hangat sungguh di media sosial, perbahasan tentang supplement, perlu atau tidak? Pelbagai pendapat dan pandangan yang KakCah baca. Pandangan KakCah sendiri?

Andai KakCah berikan pendapat, mungkin ada yang tempelak, "Alah, dia jual supplement, memanglah dia cakap gitu!". "Haa, tu nak kejar sale laa tu."

Jadi, KakCah ambil langkah untuk tetap sebagai Pengedar Sah Shaklee, tanpa menghukum sesiapa. Apa pon yang anda fikir, bersikap adil dan letakkan sesuatu itu pada tempatnya. Supplement yang baik buatannya, dihasilkan dengan kajian terperinci, oleh pakar-pakar yang ahli dalam bidangnya itu sendiri tidak salah, yang salah adalah manusia yang tamak dan tidak adil.

************************************************
(Kisah Ini Tiada Kaitan dengan Supplement)

KakCah terbaca satu komen, bahawa air yang kita minum tu pon, andai berlebihan boleh memudaratkan. Tiba-tiba mengingatkan KakCah pada insiden yang berlaku semasa Hasya warded di Wad 2B, HKB.

Pagi tu, selepas sarapan, para doktor muda melawat pesakit. Mengisi data perkembangan pesakit. Waktu tu, Hasya masih tidur dalam dukungan KakCah. Oleh kerana tidak ada meja sisi, KakCah letakkan botol air Hasya yang berisi air kosong atas katil.

Doktor yang melawat Hasya pagi tu, kecil molek aje orangnya. Bila dia sampai ke katil Hasya, KakCah terus berikan senyuman yang paling manis. KakCah rasalah. Maunya tak manis, KakCah nak mereka (doktor dan nurse) tau bahawa KakCah sangat-sangat-sangat berterima kasih pada mereka yang sedang merawat anak KakCah.

"Puan, itu botol air kosong ke?" Soalan pertama yang KakCah terima.

"Ha'ah."

"Puan, jangan bagi air kosong pada anak puan. Tak elok, nanti anak puan boleh kena sawan!" Bicara penuh hemah dari doktor kecil molek tadi.

"Saya tak bagi dia air kosong je. Anak saya masih menyusu badan. Lagipon dia takselera makan dan minum sebab sakit tekak. Jadi saya bagi apa yang dia boleh telan dan minum." KakCah bagitau doktor tersebut.

"Puan, anak puan tengah demam. Kalau dia minum air kosong je, nanti badan dia tak cukup garam. Boleh kena sawan. Semalam, ada pesakit kami yang demam sampai kena sawan sebab minum air kosong je. Terpaksa dihantar ke HSJ." Beberapa kali perkataan sawan tu ditekankan di hadapan KakCah.

"Tak, doktor. Anak saya bukan minum air kosong je. Saya bagi jugak susu badan. Semalam dia ada makan bubur sikit. Cuma pagi ni, dia takmakan lagi sebab masih tidur."

"Ikut suka puan, lah!" Tergamam KakCah. Terus terkesima. Diam seribu bahasa. Hilang terus senyuman paling manis di bibir KakCah tadi.

Doktor kecil molek tadi, KakCah pandang dengan seribu persoalan. Kenapa? Salah ke KakCah letak botol air kosong tu atas katil? Salah ke KakCah bagi Hasya minum sikit air untuk legakan sakit tekak dia? Hasya kan dah lebih setahun, takboleh ke dia minum air masak? Ya, Hasya demam, tapi suhu dia dah makin stabil, takboleh ke bagi dia air kosong?

Hampir dua minit. Diam. Kekok.

"Anak puan dah makan ke pagi ni?" Soalan kedua. Krik. Krik. Krik. KakCah balas dengan pandangan kosong. Tapi KakCah tetap jawab sebab KakCah nampak doktor kecil molek ni dah serba-salah sehinggakan dia taktahu apa yang patut dia isi dalam fail rekod Hasya.

Soalan-soalan yang seterusnya pon tetap KakCah jawab sebaik mungkin. Tapi jauh dalam hati dan fikiran KakCah, seribu persoalan yang belum terjawab.

KakCah biar.

Selang dua jam, doktor pakar paediatric pula melawat pesakit bersama doktor-doktor muda tadi. Datang dengan senyuman, dan bicara lembut dengan pesakit kecilnya. Soalan pertama doktor pakar tu pada KakCah, "Anak sudah makan ke belum? Anak dah makan apa?" Dan di akhir lawatan, pesan doktor pakar tadi pada KakCah, "Orang sakit, kita boleh bagi makanan orang sakit. Biskut ke, roti ke, apa sahaja yang dia selera nak makan. Supaya perut dia takkosong. Tapi bila dia dah sihat, puan kena bagi makanan yang sihat. Puan kena jaga pemakanan anak. Biar seimbang. Jangan bagi nasi sahaja, lauk sumber protien juga kena ada. Jangan biar dia yang kawal kita, tapi kita yang kawal apa dia perlu makan. Faham ye mama?" Lembut. Tiada ugutan. Tanpa paksaan. Penuh kesedaran.

************************************************

Geram. Ya, KakCah geram pada doktor kecil molek tadi. Dia tiada adab. Berjumpa dengan waris pesakit, tanpa mengucapkan salam. Sebaliknya terus menempelak tanpa usul periksa. KakCah tau, niat dia ikhlas. Dia taknak ada lagi pesakit dia yang terkena sawan sebab minum air kosong sahaja. Tapi bicaranya salah. Terus menghukum. Seolah-olah KakCah buat kesilapan besar.

Tapi patut ke KakCah besarkan atau viralkan tentang doktor kecil molek tadi. Ambil gambar dia atau nama dia. Jaja di media sosial. Kutuk beramai-ramai. Takperlu! Biarkan.

Bagi KakCah, setiap orang ada isunya. Ada masalahnya. Ada alasannya. Doktor tadi cuma salah pada bicaranya. Biarkan. Dia manusia. KakCah juga manusia. Hari tu, dia buat silap. Hari esok, mungkin KakCah pula yang tersilap.

KakCah tidak menghukum semua doktor tu sama. Dalam keluarga besar KakCah pon ada ramai doktor. Kawan-kawan rapat KakCah juga ada doktor dan nurse.

Apa yang Kakcah ingin sampaikan, bersikap adil sesama manusia. Bertimbang rasa. DAN bersederhana. Dalam perlakuan kita, dalam bicara kita, malah dalam makanan kita pon. Kena sederhana. Jangan berlebih-lebihan.

Semoga Allah menjaga keluarga KakCah dan merahmati doktor kecil molek tadi. Semoga Allah juga mendatangkan ilham pada dia, untuk perbaiki diri bila bicara dengan pesakit di wad. Tak dapat nak bayang, bagaimana agaknya kalau yang ditegur tadi, bukan KakCah tapi pakcik tua yang sedang sakit kencing manis. Mau kena maki doktor tu.

Apa pon, KakCah tetap ada doktor favourite. Doktor keluarga KakCah di Pasir Puteh, Dr. Fatimah dan doktor di KK Tasek Gelugor, Dr. Sarah. Bila jumpa mereka, terus hilang rasa sakit. Hihi.