Patin Goreng Sambal Cili Padi

21:37 0 Comments A+ a-

14 Ramadhan 1438.

Alhamdulillah, menu berbuka bersama keluarga hari ni, adalah kegemaran papa. Macam mana patin goreng cili padi boleh jadi kegemaran papa ye, padahal papa tu orang Kelantan. Haaaaa, menantunya kan orang Pahang.

Asal ceritanya, Papa dan arwah Mama singgah rumah mertua KakCah di Pahang. Kebetulan hari tu, Mak masak ikan goreng cili padi. Itulah kali pertama papa rasa ikan patin goreng, agaknyalah.. Selalunya kalau ikan patin ni, arwah Mama akan masak gulai tempoyak.

Selang beberapa bulan, bila KakCah balik kampung di Terengganu, Papa request patin goreng cili padi tu. Papa sendiri yang ke pasar, beli ikan patin dan mintak penjual ikan tu potong nipis-nipis untuk digoreng.


Jadi, KakCah kongsikan di sini resepi Patin Goreng Sambal Cili Padi, hasil olahan resepi asal mak mertua KakCah.

Bahan-bahan

Ikan patin, KakCah guna bahagian badan dan ekor sahaja.
Cili Padi, 6-7biji (terpulang kalau nak lebih pedas, buh laa banyak lagi)
1 Asam keping
2 Bawang putih
2 Bawang besar
Garam & gula
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara

Ikan patin yang dah dicuci, dilumur dengan garam kunyit dan goreng sampai garing. Angkat dan asingkan. Kurangkan minyak goreng ikan tadi, secukupnya untuk menumis.

Cili padi dan bawang putih ditumbuk sehingga lumat. Bawang besar pula mayang halus. Panaskan kuali dengan minyak ikan tadi, tumis cili padi dan bawang putih yang ditumbuk. Kemudian masukkan bawang besar. Tunggu sehingga bawang layu, dan masukkan asam keping.

Letakkan sedikit air panas, bagi sebatikan semua bahan. Perasakan dengan garam dan gula. Dah sebati semuanya, masukkan ikan patin goreng. Kacau supaya sekata sambal dan ikannya. Dah siap! Senang aje kan.

Alamak, takde pulak gambar ikan yang dah siap masak. Buatnya 20minit sebelum berbuka, memang taksempatlah nak gambar-gambar bagai. Huhu. Next time, ok!

Haa, menu ni pon sesuai jugak untuk beraahur. Ringkas dan pantas menyiapkannya.